BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, April 29, 2013

CEGAH SLIP DISC


CARA duduk yang salah seperti membongkok di hadapan komputer terlalu lama boleh menyebabkan sakit belakang dan menyumbang berlakunya cakera teranjak.

SAKIT belakang terutama bahagian tulang belakang sering dianggap perkara biasa akibat daripada kerja keras seperti mengangkat barang terlalu berat atau menyertai sukan lasak seperti ragbi.
Bagi menghilangkan kesakitan tersebut, ramai yang sering sekadar mengambil ubat penahan sakit, berurut atau menjalani rawatan alternatif dan tidak bertemu dengan pakar bagi memeriksa masalah yang dihidapi.
Bukan tidak pernah mendengar apa itu cakera teranjak atau lebih dikenali sebagai 'slipped disc', tetapi mereka terutamanya golongan muda berasa tidak mungkin menghidapi masalah tersebut kerana ia sering dikaitkan dengan golongan tua.
Memang kebanyakan pesakit cakera teranjak berusia 40 tahun ke atas, tetapi sekarang dilihat semakin ramai golongan muda menghidap masalah yang sama malah ada yang baru berusia belasan tahun.
Memburukkan keadaan, cakera teranjak boleh menyebabkan pesakit hilang kualiti kehidupan kerana pelbagai perkara tidak dapat dilakukan dan jika masalah itu berlaku di bahagian leher, pesakit mampu lumpuh.

Perunding Ortopedik, Artroplasti dan Pembedahan Sukan Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Soong Kean Leong berkata, perubahan kelompok usia penghidap cakera teranjak kepada mereka yang lebih muda berkemungkinan berpunca daripada perubahan gaya hidup dan kurang langkah pencegahan dilakukan.
"Kelompok usia yang ramai mengidap masalah cakera teranjak masih 40 tahun ke atas tetapi semakin ramai golongan muda seawal usia 20-an yang berdepan dengan masalah tersebut.
"Perubahan tersebut dipercayai berpunca gaya hidup yang tidak sihat. Ramai yang tidak mengambil berat penjagaan tulang belakang dari muda seperti postur badan yang betul ketika berjalan, duduk dan tidur.
"Memang betul sakit belakang tidak semestinya petanda masalah cakera teranjak, tetapi lebih elok mengambil langkah berjaga-jaga dengan memeriksanya di hospital," ujarnya yang pernah merawat pesakit cakera teranjak berusia 17 tahun.
Punca dan gejalaSelalunya, cakera teranjak berpunca daripada proses penuaan iaitu pengurangan kandungan cecair di dalam cakera yang menyebabkan ia lebih mudah rosak atau pecah apabila menerima hentakan.

Selain itu, ia juga boleh terjadi akibat kecederaan seperti kemalangan.
Terang Dr. Soong, cakera teranjak berpunca daripada cakera rawan di antara tulang vertebra yang berfungsi sebagai kusyen untuk penyerap hentakan tersembul dari kedudukan sebenar.
Perubahan tersebut mungkin terkena bahagian saraf tunjang menyebabkan rasa sakit di bahagian-bahagian tertentu yang dikawal saraf tersebut seperti kaki, tangan dan leher selain tulang belakang.
Kesakitan yang melampau akan menyebabkan anggota badan menjadi kebas dan pergerakan akan turut terbatas.
Namun, ujar Dr. Soong, kajian di AS menunjukkan 20 peratus daripada mereka yang berusia lingkungan 40 tahun yang disahkan mengalami cakera teranjak tidak berdepan dengan apa-apa simptom.
Ini kerana bahagian tengah cakera yang rosak retak itu tidak mempunyai deria dan hanya terasa sakit jika ia mengena saraf.
Kesannya mungkin hanya dirasai apabila pesakit semakin berusia.
Jika cakera teranjak berlaku di bahagian atas iaitu vertebra serviks, pesakit berkemungkinan menjadi lumpuh.
Namun, jika di bahagian bawah, ia tidak akan menyebabkan lumpuh, cuma akan berasa sakit atau kebas yang akan menyebabkan kualiti hidup terganggu.
DiagnosisUjar Dr. Soong, cakera teranjak dapat didiagnosis melihat kepada simptom yang dihidapi seperti bahagian yang berasa sakit kerana setiap saraf mengawal bahagian yang berbeza.

Doktor juga akan merujuk kepada sejarah pesakit seperti gaya hidup atau ada kemalangan yang menyebabkan kecederaan.
Menerusi imbasan sinaran-X, perbezaan ketinggian setiap lapisan tulang belakang dapat dilihat penanda berlaku perubahan pada cakera kerana setiap tulang selalunya mempunyai ketinggian yang konsisten.
Ujian MRI dapat menentukan masalah sebenar pada tulang belakang yang dihidapi.
RawatanPembedahan selalunya hanya dipertimbangkan jika apabila rawatan lain gagal.
"Rawatan bergantung kepada beberapa perkara seperti usia dan seteruk mana masalah tersebut mengganggu hidup.
"Perkara pertama akan dilakukan ialah mengawal kesakitan tersebut seperti penggunaan ubat.
"Cara penjagaan tulang belakang turut akan diajar kepada pesakit supaya tidak memburukkan lagi keadaan," ujar Dr. Soong yang begitu menitik-beratkan penjagaan tulang belakang dari peringkat awal.
Terangnya lagi, fisioterapi perlu dilalui pesakit bagi mengurangkan rasa sakit yang dihidapi kerana masalah cakera teranjak tidak akan hilang begitu saja.
Beberapa cara senaman perlu dipraktikkan oleh pesakit bagi menguatkan otot-otot dan tulang belakang.
Jika kesakitan masih berterusan dan amat mengganggu pesakit, pembedahan iaitu 'PECD scope' akan dilakukan bagi menyahmampatkan saraf yang terkena cakera tersebut.

No comments:

Post a Comment