BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, April 19, 2013

NASI KANDAR AYAM KAPITAN ARA DAMANSARA


Nasi ayam lada hitam menampilkan kelainan daripada nasi ayam biasa.

NASI putih yang ‘dibanjiri’ dengan campuran kuah kari beserta lauk pauk pilihan merupakan tanda dagang nasi kandar.
Sememangnya dihidang dengan dicampurkan kesemua lauk pilihan di atas nasi dalam satu pinggan, secara tidak langsung menjadikan nasi kandar begitu popular di kalangan penggemarnya.
Tidak hanya terletak pada keunikan cara ia dihidangkan tetapi keenakan lauk pauk yang disajikan juga tidak kurang lazatnya.
Bagi memberi pilihan kepada orang ramai, sebuah lagi restoran nasi kandar telah dibuka di Ara Damansara.
Terletak di 13-G-09, Blok B, Jalan PJU 1A/7A, Oasis Square, Ara Damansara, Nasi Kandar Penang Kapitan menawarkan pelbagai lauk pauk yang enak untuk dinikmati bersama nasi putih mahupun nasi beriani.
Tidak terhad hanya kepada lauk pauk untuk nasi kandar, restoran ini turut menyediakan hidangan lain untuk pilihan para pelanggannya.
Menurut pengarah restoran tersebut, Ameen Mohamed, Nasi Kandar Kapitan merujuk kepada menu ayam kapitan yang disajikan di situ.
Katanya lagi, ayam kapitan adalah sejenis masakan ayam yang amat popular untuk dinikmati bersama nasi kandar.
“Di sini kami menyediakan pelbagai lauk pauk seperti yang disediakan di restoran-restoran nasi kandar lain tetapi istimewanya kami menyajikan sajian ayam kapitan yang ramuannya amat istimewa.
“Sudah pasti kesemua lauk pauk yang dimasak adalah makanan yang berasal dari Pulau Pinang kerana nasi kandar sememangnya makanan yang berasal dari situ.
“Yang pasti, kesemua lauk yang dihidangkan di sini boleh disesuaikan dengan nasi putih, nasi tomato atau pun nasi beriani," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaanya baru-baru ini.
Berbicara lanjut mengenai lauk pauk yang dihidangkan di restorannya itu, ulas Ameen, mereka menggunakan resipi turun-temurun dari Pulau Pinang yang diwarisi isteri serta ibu mentuanya.
Tambahnya lagi, kesemua lauk yang dihidangkan di kedainya menggunakan resipi asli isterinya dan tidak ketinggalan mengggunakan rempah ratus tempatan di samping rempah ratus istimewa yang disediakan isterinya.
Ternyata apa yang dikatakan adalah benar kerana setiap lauk yang disajikan mempunyai perbezaan rasa antara satu sama lain.
Bukan itu sahaja malah bahan-bahan yang digunakan dalam masakan turut terasa dan ini sekali gus menjadikan lauk-lauk di Nasi Kandar Penang Kapitan berbeza.
Walaupun restoran tersebut menyajikan hidangan utamanya nasi kandar tetapi Ameen memberitahu pihaknya turut menyediakan sajian sampingan yang lain dalam usaha memberikan pelbagai pilihan kepada orang ramai.
“Di sini kami tidak hanya terhad menyediakan nasi kandar tetapi turut menyediakan hidangan panas seperti masakan bergoreng, kebab, sate, roti naan dan tidak ketinggalan masakan barat dan juga masakan Thai.
“Dan disebabkan restoran ini menu utamanya adalah dari Pulau Pinang, sudah pasti laksa Penang turut disediakan.
“Yang pasti setiap pelanggan yang melangkah masuk ke restoran ini mempunyai pelbagai pilihan mengikut cita rasa masing-masing," katanya lanjut.
Dibuka setiap hari seawal 7 pagi hingga 11 malam, restoran tersebut merupakan cawangan keempat. Tiga cawangan yang dibuka sebelum ini semuanya terletak di sekitar kawasan Petaling Jaya.
Lagi satu keistimewaan restoran ini ialah kesemua masakan yang terdapat di keempat-empat cawangannya dimasak di dapur utama yang terletak di Ara Walk.
Terang Ameen, mereka memilih untuk menggunakan dapur utama adalah kerana ingin mengekalkan rasa yang sama di setiap cawangan di samping hanya seorang tukang masak utama yang mengendalikan setiap masakan.
Nasi Kandar Penang Kapitan yang dimiliki oleh Kapitan Station sebenarnya turut dikendalikan bersama Datuk Wan Ab Ghani Wan Yusuf.

No comments:

Post a Comment