Restoran Al-Hanin yang dimiliki Zulrahim Yusof, 41, menjanjikan kelainan di sebalik pelbagai menu lazim makanan Arab yang dihidangkan di restoran di Taman Larkin Idaman, Johor Bahru ini.
Cukup terkenal dengan tiga hidangan istimewanya iaitu nasi Maqlubah, nasi Mandy dan nasi Kabsa, restoran yang menjadi pilihan ramai itu telah memberi ilham kepada Zulrahim untuk mencipta satu resipi baharu yang menggabungkan ketiga-tiga sajian nasi tersebut.
Katanya, menu yang diberi nama Nasi Arab 3 Rasa itu memberi pilihan kepada pelanggan untuk menikmati ketiga-tiga hidangan nasi Arab dalam satu hidangan.
"Setiap hidangan mempunyai keenakan tersendiri dan pelanggan saya selalu bertukar menu setiap kali menjamu selera di sini. Lazimnya, pelanggan sukar membuat keputusan untuk memilih antara tiga menu nasi tersebut. Ini kerana ada di antara mereka amat menyukai ketiga-tiganya.
"Jadi, saya memudahkan mereka dengan menggabungkan kesemuanya dalam satu hidangan agar mereka dapat menikmatinya secara serentak," katanya kepada S2 ketika ditemui di restorannya yang membawa maksud idaman.
Bukan itu sahaja, bekas guru JQaf yang pernah menetap selama enam tahun di Jordan itu memberitahu, keistimewaan makanan Arab yang disajikan turut terletak di tangan chef yang berkhidmat di situ yang diimport khas dari Palestin.
Ujarnya, empat tukang masak warga Palestin menjadikan setiap hidangan di Restoran Al-Hanin mempunyai sentuhan asli bangsa Arab.
"Hidangan di sini adalah 'original'. Ia resipi asli, dimasak dan dihidangkan oleh orang Arab sendiri. Ini dilakukan bagi membantu dan beramal kepada warga Palestin terbabit, selain tidak mahu mengecewakan pelanggan.
"Selain itu, dekorasi dalaman dan susun atur restoran ini juga dihias menyerupai restoran di Asia Barat bagi mewujudkan suasana sebenar negara Arab," katanya yang mengusahakan perniagaan itu sejak dua tahun lalu.
Mengenai cara memasak yang unik di dapur restorannya, menurut Zulrahim, nasi Mandy dimasak bersama daging ayam dan kambing di dapur tanah bagi mendapatkan aroma yang asli dan secara tidak langsung memberikan kelazatan terhadap hidangan tersebut.
Di samping tiga menu popular berkenaan, restoran itu juga menyediakan pelbagai menu sampingan seperti kebab Gaza Palestin, kambing kuzi, sup kacang dal, falafel, kacang pool Gaza Palestin dan hummus.
Pada masa akan datang, beliau berhasrat untuk mengetengahkan satu lagi menu istimewa iaitu nasi Mansaf.
"Lauknya disediakan melalui teknik merebus ayam atau kambing dengan menggunakan susu kambing atau yogurt,"ujarnya yang memberitahu nasi Mansaf amat popular di negara Jordan.
No comments:
Post a Comment