Hidangan pencuci mulut yang sepatutnya boleh dimanfaatkan dengan memakan buah-buahan akhirnya diganti dengan manisan seperti aiskrim dan kek yang kurang khasiatnya malah boleh menjejaskan kesihatan.
Mencipta kelainan, Fruit Rebel memperkenalkan cara baru orang ramai dapat menikmati buah-buahan dengan persembahan yang lebih menarik dan campuran pelbagai jenis coklat yang menghasilkan rasa yang berbeza.
Bayangkan pelbagai jenis buah yang digubah indah di dalam pasu menyerupai gubahan jambakan bunga, pastinya ia menjadi tumpuan ahli keluarga mahupun tetamu yang datang ke rumah membuatkan mereka teringin menikmatinya.
Apa lagi buah-buahan seperti epal, pisang dan strawberi yang disalut dengan coklat pelbagai rasa lalu dihias dengan badam mahupun parutan isi kelapa, sesiapa sahaja terutamanya kanak-kanak yang kurang gemar buah-buahan akan tertarik untuk mencubanya.
Rojak Fruit Rebel iaitu semangkuk campuran buah-buahan segar seperti strawberi, anggur, oren dan sun melon dan tembikai susu dicampur dengan sos istimewa gabungan mayonis dan yogurt lalu ditabur dengan kisaran oreo dan badam amat menyegarkan tekak.
Istimewanya lagi, Fruit Rebel yang baru membuka kiosk pertama di Plaza Shah Alam turut menyediakan penghantaran `jambakan buah ke rumah pelanggan atau sebagai kejutan bagi teman atau keluarga.
Ujar Pengarah Urusan Fruit Rebel, Mohd. Faisal Ahmad, idea mengindahkan cara persembahan potongan buah-buahan diperolehi daripada pengalaman berada di luar negara terutamanya di Amerika Syarikat (AS) dan negara-
negara Eropah.
Di sana, penghantaran jambakan buah merupakan perkara biasa sama seperti penghantaran bunga untuk majlis tertentu atau kejutan.
Pelanggan dapat memilih pelbagai pilihan gubahan buah mengikut tema dan penghantaran boleh dibuat seawal tempoh 24 jam.
Di kiosk pula, Fruit Rebel menyediakan buah-buahan yang dicelup coklat pelbagai perasa serta rojak Fruit Rebel yang mudah dibawa kemana-mana," ujarnya yang bakal membuka sebuah lagi kiosk Fruit Rebel di Empire Subang bulan Jun ini.
Buah celup coklat di kiosk Fruit Rebel dijual dalam bentuk kotak comel untuk enam atau 12 ketul dan menariknya lapisan coklat itu tidak cair.
Buah celup coklat turut dijual secara pembelian online di mana ia diletak di dalam kotak-kotak yang eksklusif sesuai dijadikan hadiah malah diletakkan pada dulang hantaran perkahwinan.
Terang Mohd. Faisal, kesegaran dan kualiti buah diutamakan di kiosk serta perkhidmatan hantaran.
Antara caranya ialah mengambil tahu pukul berapa pelanggan yang memesan menerusi laman web mahu menggunakannya dan ia akan dipotong dan dihias kurang 24 jam dari waktu tersebut.
Selepas ini kami merancang mempelbagaikan lagi hidangan yang bertemakan buah-buahan bagi memenuhi permintaan ramai," ujarnya yang turut merancang memfrancaiskan Fruit Rebel.
No comments:
Post a Comment