BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, May 16, 2014

KAMBING PANGGANG DR. GRILL

Chef M.D Idris menggunakan pengalaman bekerja di hotel dalam dan luar negara untuk
 menghasilkan kambing panggang yang enak.

Dahulu kambing panggang merupakan antara hidangan mewah yang hanya boleh didapati di bufet di hotel-hotel, tetapi kini ia semakin mudah diperoleh termasuk di pasar malam-pasar malam.
Hidangan kambing panggang kini mula mendapat perhatian untuk sebarang jenis majlis tidak kira sama ada majlis akikah, perkahwinan, rumah terbuka, malah sambutan hari jadi.
Tarikan aroma kambing yang sedang dipanggang, cukup membuatkan semua tetamu kecur liur.

Syarikat Dr. Grill BBQ Catering (Dr. Grill) adalah antara yang menawarkan hidangan kambing panggang untuk apa juga majlis dan pada bila-bila masa.
Apa yang menariknya mengenai kambing panggang Dr. Grill ialah ia tidak memerlukan tempoh masa yang lama untuk dipanggang, iaitu enam jam seperti kebiasaannya.
Sebaliknya, menurut pemilik syarikat, Chef M.D Idris Abd. Rahman, dia memperuntukkan hanya satu jam untuk memanggang kambing pada peringkat awal dengan cara memanggangnya di dalam tong pembakar secara mengiring.
Adakah dalam masa satu jam itu mampu melembutkan daging kambing?
“Tempoh 30 minit diperlukan untuk membakar bagi satu bahagian dan 30 minit lagi diterbalikkan untuk bahagian sebelah lagi, sebelum bahagian atas tong pembakar itu ditutup dengan kertas pembalut aluminium," katanya.
Tepat satu jam, dawai dan pembalut aluminium ditanggalkan. Ini bermakna kambing yang dipanggang 70 peratus siap dimasak.
Sebelum ia digantung untuk proses memanggang seterusnya, Idris meletakkan ramuan terakhir.

“Sebelum ramuan tersebut dilumur, daging kambing perlu dicucuk-cucuk dengan pisau supaya ramuan rempah ratus meresap ke dalam daging," katanya.
Sekitar 30 minit, kambing yang siap dipanggang akan dipotong dan dihiasi dengan brown sauce, bawang besar dan lada benggala.
Selain menggunakan teknik memanggang yang betul, pemilihan kambing dari Australia dan New Zealand juga antara faktor mengapa daging kambing panggang Dr. Grill begitu lembut.
Penggunaan pembalut aluminium turut dititikberatkan bagi memudahkan proses pembungkusan kambing, selain rempah ratus dimasak dahulu sebelum dilumur pada seluruh bahagian kambing.

Bagi sesetengah orang yang tidak gemarkan daging kambing kerana rasa dan bau hamis yang agak kuat, kini tidak ada masalah lagi.
Ini kerana daging kambing yang dipanggang Idris, tiada sedikit pun bau hamis.
“Rahsianya, saya akan memasak dahulu rempah ratus seperti serbuk kuzi, kari, kunyit, beriani, bawang, serai dan halia yang dikisar serta menabur serbuk lada hitam sebelum kambing dipanggang bagi menghilangkan bau hamis.
“Hasilnya, rempah yang dilumur pada badan kambing tersebut membuatkan rasanya lain daripada apa yang sering kita rasa kerana terdapat unsur Arab dalam perapan daging itu," katanya.

Lebih membanggakan, dia menerima tempahan sebanyak 800 ekor kambing setahun dan pada musim hari raya, sekurang-kurangnya 10 ekor sehari ditempah oleh pelanggan.
Idris yang pernah bekerja sebagai chef di hotel-hotel terkemuka di dalam dan luar negara, banyak dibantu isterinya, Azee Ramsi.
“Biasanya, suami akan menguruskan hal ehwal masakan Barat dan saya pula pakar dalam masakan Melayu.
“Jadi apabila kami berdua bergabung, terhasillah air tangan yang mendapat tempat di hati pelanggan," kata Azee sambil berseloroh.
Menurutnya lagi, di Dr. Grill mereka menyediakan khidmat kambing panggang berserta pelayan yang akan memanggang, memotong dan menghidang daging di lokasi majlis.
Beliau yang mengusahakan perniagaan tersebut sejak tahun 2000, bukan saja dikenali di sekitar Kuala Lumpur, bahkan hingga ke Sabah dan Sarawak.
Malah, pelanggannya ada daripada kalangan orang kenamaan dan kadang kala mendapat tempahan dari Brunei.

Dr. Grill menawarkan harga yang amat berpatutan iaitu RM600 bagi seekor kambing dan RM900 bagi kambing panggang yang didatangkan dengan hidangan sampingan iaitu roti bawang putih, sayur salad hijau, dan sup cendawan
Selain kambing panggang, syarikat itu turut menyediakan khidmat katering pelbagai jenis masakan Melayu untuk majlis kenduri.
Antara yang ditawarkan nasi beriani, nasi minyak, sup kambing, pajeri terung, ulam-ulaman, ikan keli sambal, pelbagai jenis gulai dan kuih-muih Nyonya mengikut permintaan pelanggan.
Tempahan boleh dibuat melalui talian 03-4287 2500.

No comments:

Post a Comment