BAGI mereka yang pernah mencuba mi udang Sungai Dua yang popular di Butterworth, Pulau Pinang, pasti tidak boleh melupakan kesegaran udang-udang yang dipadankan bersama kelazatan kuahnya.
Tidak perlu berjalan jauh, keenakkan mi udang tersebut boleh dirasai apabila berkunjung ke Medan Selera Mentara, Ampang, Selangor yang menjanjikan kesedapan setanding menu asli.
Pengurus Bahagian Makanan Medan Selera Mentara, Syed Rizal Saifu Razle Syed Muhammad berkata, konsep dan cara masakan adalah mengikut hidangan yang terdapat di Sungai Dua.
“Kami mahu penggemar mi udang Sungai Dua mengalami pengalaman yang sama di Medan Selera Mentara. Disebabkan itu, kami cuba mengekalkan rasa yang sama seperti sedia ada,” ujarnya yang pernah bekerja di salah sebuah restoran di Sungai Dua hampir dua tahun.
Pada masa sama, beberapa penambahan dilakukan bagi mengikut selera setempat seperti menggunakan stok udang dari pelbagai jenis untuk dijadikan kuah mi.
“Jumlah udang juga terpulang kepada pengunjung kerana harga bagi satu hidangan adalah bergantung kepada berat udang yang dipilih,” kata Syed Rizal, harga bagi 50 gram udang ialah RM10 untuk satu hidangan.
Selain itu, pengunjung juga boleh menggunakan udang untuk variasi makanan bergoreng seperti mi goreng udang, nasi goreng udang dan mi goreng udang basah.
Kesegaran udang menjadi keutamaan bagi memberikan kepuasan kepada pelanggan. Ia akan disimpan dalam peti sejuk dan hanya udang segar dihidangkan setiap hari.
“Udang yang tidak digunakan pada hari sebelumnya akan dijadikan bahan untuk membuat kuah sekali gus mengelakkan pembaziran,” kata Pengurus Operasi, Syed Ardi Syed Abd. Rahman.
Menurut Syed Ardi, setakat ini, mereka menerima respons positif daripada pelanggan yang pernah merasai hidangan sama di Pulau Pinang.
“Walaupun baru diperkenalkan sebulan lalu, permintaan semakin meningkat setiap hari sehingga kami terpaksa menambah bekalan udang segar,” ujarnya.
Selain itu, mi ketam juga antara hidangan yang digemari di Medan Selara Mentara. Berharga RM18 untuk satu hidangan, ia menggunakan resipi asli dari Pantai Timur.
No comments:
Post a Comment