BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, July 26, 2012

JAKIM LANCAR 'OPS BUFET RAMADHAN'


KUALA LUMPUR 25 Julai - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mula bertindak melakukan pemeriksaan terhadap hotel-hotel yang belum memiliki sijil halal dan melanggar arahan supaya tidak menyalahgunakan istilah bufet Ramadan.
Dalam pemeriksaan hari ini, pasukan penguat kuasa Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah hotel di Kajang.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Azizan Shaari berkata, hasil pemeriksaan terhadap dapur hotel berkenaan mendapati ada bahan-bahan yang meragukan status halalnya.
"Menurut maklumat yang diterima, hotel ini mempunyai restoran tidak halal yang turut menyediakan makanan berasas daging babi. Justeru, menerusi prosedur baru, mana-mana hotel yang menyediakan masakan berasaskan daging babi, Jakim tidak akan mengeluarkan sijil halal," katanya pada sidang akhbar selepas pemeriksaan ke atas hotel tersebut di sini.
Tegas Azizan, pihaknya telah mengarahkan hotel berkenaan supaya menurunkan kain pemidang serta tidak mengeluarkan sebarang risalah mempromosi bufet Ramadan tersebut.
"Kita akan menyediakan kertas siasatan dan seterusnya diserahkan kepada pihak kementerian. Kemudian kes ini akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 1972," katanya.
Tambahnya, operasi ini akan dijalankan secara berterusan sepanjang bulan Ramadan ini dan berharap pengusaha-pengusaha hotel supaya tidak memandang remeh amaran yang telah dikeluarkan Jakim ini.
Baru-baru ini, Jakim memberi amaran kepada hotel dan premis makanan di negara ini yang tidak mempunyai sijil halal supaya tidak menggunakan istilah bufet Ramadan sewenang-wenangnya.
Larangan penggunaan istilah bufet Ramadan itu bertujuan untuk tidak mengelirukan umat Islam terhadap status halal di premis makanan.
Sementara itu, Azizan turut menasihatkan orang ramai yang ingin menganjur majlis berbuka puasa, supaya memilih hotel yang disahkan halal oleh Jakim atau pihak Jabatan Agama Islam Negeri.
"Peringatan juga diberikan kepada agensi-agensi kerajaan. Ini kerana hasil pemeriksaan kami di hotel ini mendapati beberapa agensi kerajaan yang membuat mesyuarat dan majlis berbuka puasa di sini sedangkan premis ini tidak mempunyai sijil halal," ujarnya.

No comments:

Post a Comment