Jika kita ada melakukan kesalahan dan dosa maka inilah bulan yang perlu kita manfaatkan semaksimum untuk memohon keampunan daripada-Nya.
Ramadhan merupakan bulan Maghfirah, lambang kasih sayang Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Allah tidak mahu mengazab hamba-hamba-Nya di atas dosa yang telah mereka lakukan. Lalu diturunkan bulan ini supaya hamba-hambaNya yang berdosa kembali kepada-Nya.Justeru amatlah rugi bagi mukmin yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi gagal mengambil peluang untuk menebus dosa-dosa yang dilakukan seperti mana sabda junjungan Rasul,
“Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampun…”(HR Hakim)
Ramadhan membentuk insan yang bertaqwa. Ramadhan mengajar kita siapa diri kita yang sebenar. Tidak kira tua atau muda, miskin atau kaya, berkereta besar atau kecil, apabila tibanya bulan ini, kita semua akan merasa lapar serta dahaga.
Oleh itu usah berbangga dengan harta yang dimilki kerana harta itu tidak mampu membeli sebuah kebahagiaan. Banyak orang yang berharta tetapi jiwanya gelisah, tidak puas, malah kadang-kadang timbul perasaan tamak di dalam diri. Jiwa mereka sebenarnya sedang merana.
Jadilah seperti Usman bin Affan atau Abdul Rahman bin Auf, lagi banyak harta yang dimiliki lagi hebat ibadah dan taqwanya kepada Allah SWT.
Kita perlu sedar, apabila ajal menjemput, tiada lagi ertinya harta di dunia ini sekalipun berkoyan-koyan kita kumpulkan.Yang mengiringi kita kelak ke alam barzakh, hanyalah iman dan taqwa.Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment