BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, July 11, 2012

NELAYAN SERKAT RAYU BANTUAN


Nelayan rayu bantuan
Sekumpulan nelayan Pengkalan Hulu Serkat, menunjukkan jaring yang rosak didakwa terkena tumpahan minyak.
PONTIAN - Seramai 100 nelayan yang berpangkalan di Pangkalan Nelayan Penghulu Serkat di sini, merayu agar pihak kerajaan dapat membantu mereka yang terjejas dengan masalah tumpahan minyak yang sering berlaku, sejak akhir-akhir ini.
Wakil kumpulan nelayan tersebut, Juhuri Nawi, 57, berkata, bantuan berkenaan amat diperlukan untuk membeli perkakasan baru seperti jaring yang rosak akibat terkena tumpahan minyak.
Menurutnya, sumber pendapatan utama nelayan di situ terjejas akibat masalah tumpahan minyak dan kapal yang berlabuh berhampiran Tanjung Piai.
“Tumpahan minyak yang sering berlaku di perairan Selat Melaka berhampiran Tanjung Piai menyebabkan nelayan bot kecil mengalami kerugian. “Semakin banyak kapal berlabuh dan kedudukannya yang semakin dekat dengan kawasan pesisir pantai sehingga boleh dilihat dengan begitu jelas dari kawasan pangkalan nelayan,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, kehadiran kapal yang berlabuh di situ menyebabkan hasil tangkapan semakin kurang dan ada kalanya jaring yang dipasang bagi menangkap udang rosak dilanggar kapal.
Juhuri berkata, jika dahulu, mereka mampu untuk meraih hasil tangkapan hampir RM700 sehari, tetapi sekarang untuk mendapatkan RM50 amat susah.
“Ikan sudah kurang dan hidupan laut seperti siput dan lokan yang hidup di pokok bakau kini sukar ditemui kerana semuanya sudah habis terkena tumpahan minyak,” katanya.
Menurutnya, ada dalam kalangan nelayan yang tidak turun ke laut kerana tidak mampu membeli jaring baru bagi menggantikan jaring lama yang rosak.
Jelasnya, bermula dari Julai sehingga Disember setiap tahun, masalah tumpahan minyak bertambah serius dan ketika itu nelayan sukar mencari rezeki yang juga sumber mata pencarian utama mereka.
“Ini kerana, jaring yang terkena tumpahan minyak tidak boleh digunakan lagi dan perlu diganti baru,” katanya. Juhuri mendakwa, mereka tidak pernah mendapat sebarang bentuk bantuan meskipun sudah membuat aduan kepada pihak  yang berkenaan dan agensi kerajaan berkaitan.
Menurutnya, sehingga hari ini, segala kerosakan jaring, enjin dan perkakasan lain terpaksa mereka tampung sendiri, kerana belum lagi menerima sebarang bantuan. “Setiap kali jaring nelayan terkena minyak kami membuat laporan polis dan memanjangkannya kepada pihak persatuan namun tiada sebarang tindakan yang diambil,” katanya.
Dia yang kesal dengan masalah ini, berharap agar bantuan yang dinanti-nantikan nelayan dapat diperoleh segera.
Sementara itu, Sinar Harian cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak pihak yang bertanggungjawab, namun gagal dihubungi. 

No comments:

Post a Comment