Barisan kereta pelbagai nombor pendaftaran yang memenuhi ruang meletak kenderaan premis itu membuktikan konsep panggang dan rebus melibatkan pelbagai jenis daging, ikan dan aneka 50 jenis makanan laut segar yang dipadankan dengan tomyam atau sup pilihan, mendapat sambutan ramai sejak ia beroperasi setahun lalu.
Perniagaan yang diusahakan dua beradik, Saiful Harith Halim, 25, dan Saiful Hanif Halim, 24, itu sebenarnya sejak awal lagi sudah 'diintai' oleh pelanggan ketika proses pemasangan papan tanda sebelum mula beroperasi lagi.
Saiful Harith yang merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda (Perniagaan dan Pengangkutan) Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, sejak beroperasi sambutan yang diterima sangat menggalakkan kerana pelanggan datang berulang dan turut membawa rakan mereka.
"Kami juga gembira dengan kehadiran pelanggan dari Singapura yang datang secara berkumpulan dalam jumlah yang besar antara 15 hingga 20 orang, selain warga asing yang menetap di bandar raya ini seperti warga Jepun, Korea, Australia, Hong Kong dan China," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurutnya, restoran dengan kapasiti 120 orang setiap hari pada satu-satu masa itu beroperasi setiap hari dari pukul 4 petang hingga 12 malam dan turut menerima tempahan menerusi telefon untuk penghantaran ke taman perumahan berhampiran.
Bagi Saiful Hanif pula, inisiatif memulakan perniagaan itu adalah hasil dorongan ibunya, Saadah Ahmad yang sering menghidangkan masakan panggang seperti daging kambing madu atau daging lembu dan ayam yang diperap dengan rempah lada hitam atau halia di samping masakan rebus semasa dia dan abangnya masih kecil.
Lepasan Kejuruteraan Telekomunikasi dari Universiti Multimedia, Melaka itu berkata, masakan tersebut diletakkan dalam menu pilihan Kapten Steamboat and Grill selain udang madu, sotong lada hitam manakala steamboat pula seperti jejari ketam, bebola ikan, bebola udang, udang kara, kupang New Zealand, ikan, pelbagai jenis mi dan sayur-sayuran.
"Bagi menjamin cita rasa enak, sebahagian besar bekalan bahan-bahan tersebut kami peroleh secara segar yang kemudian diperap dengan rempah terpilih. Begitu juga dengan kupang New Zealand memang kami dapat bekalan terus dari New Zealand dengan kekerapan sekali seminggu.
"Selain itu kita juga menghidangkan nasi goreng, mi goreng sambal sotong dan bermacam-macam lagi menu yang boleh ditempah secara ala-carte serta pelbagai pencuci mulut termasuk aiskrim, puding kastad, kek brownies dan pelbagai jenis minuman," katanya.
Tambah Saiful Hanif, segala resipi dipelajari daripada Saadah yang merupakan pakar masakan panggang selain melakukan kajian dan tinjauan ke beberapa premis panggang dan rebus di sekitar Lembah Klang dan Johor Bahru sendiri melibatkan trend orang ramai, harga dan tarikan.
Ujarnya, harga hidangan di Kapten Steamboat and Grill adalah pada kadar berpatutan serta mampu dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat terutama mereka yang berpendapatan sederhana selain perkhidmatan majlis makan bersama keluarga, ulang tahun, jamuan kelas dan banyak lagi yang boleh diubahsuai mengikut kehendak pelanggan.
"Bagi memastikan restoran sentiasa segar di samping sentiasa mengubah suai susun atur dan hiasan dalaman, kami akan menukar menu setiap dua bulan.
"Kami turut mengadakan Bufet Ramadan dengan menawarkan harga RM28 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak pada hari biasa dan RM32 (dewasa) dan RM15 kanak-kanak pada Sabtu dan Ahad," katanya.
Mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut berhubung Kapten Steamboat and Grill boleh menghubungi talian 017-7111792 (Harith) atau 019-7710765 (Hanif).
No comments:
Post a Comment